Gadis Bertudung Biru

04 April
Aku rasa agak tertekan bila otakku tak dapat menerima pelajaran yang kupelajari hari ini. Aku pun mengambil keputusan untuk keluar berjalan-jalan sebentar kononnya nak menghirup udara segar malam. Kuhidupkan enjin motosikal lalu memecut tanpa arah tujuan yang pasti.

Setibanya aku di kawasan pantai Tanjung Bidara, aku berhenti. Kulihat air laut yang tenang seolah-olah mengajakku menyertai ketenangan itu. Aku duduk di satu sudut yang agak-agak terlindung sedikit. Kononnya tak mahu diganggu. Memandang air yang terbentang luas membuatkan aku merasa sangat kerdil. Betapa besarnya kuasaMu Ya Allah. Mencipta alam yang sebegini indah.

Sedang asyik aku merenung air laut yang tak putus-putus menyambung alunan ombak, mataku terpandang kelibat seseorang yang sedang berjalan di tepian pantai. Aku tak nampak siapa empunya badan. Namun yang pasti dia adalah seorang gadis. Berbekalkan sedikit cahaya hasil tempias dari lampu jalan, aku hanya mampu melihat si gadis berjalan. Ya dia bertudung biru! Biru warna laut yang aku tenung tadi.

Ikutkan hati mahu saja aku menyapa si gadis yang kelihatan seperti mencari-cari sesuatu. Tapi apa pula kata orang kalau ada mata yang melihat nanti. Terus kubatalkan niatku itu. Dari jauh mataku hanya mampu mengekori setiap langkah si gadis bertudung biru itu. Pasti wajahnya juga setenang air laut dihadapan ku ini.

Tiba-tiba telefonku berbunyi. Terus membantutkan anganku. Aku berpaling semula mencari si gadis tudung biru tadi…Ahhh…kemana pula kau menghilang? Dengan rasa kecewa, aku bingkas bangun untuk pulang.



05 April
Aku bermimpikan seorang wanita yang memakai tudung biru seperti gadis yang aku nampak semalam. Tapi aku hanya melihat bahagian belakang si gadis. Entah bagaimana rupanya aku tidak tahu. Tapi itu semua hanyalah mainan tidur. Aku bangun dan terus menuju ke bilik mandi.

Lebih kurang 20 minit kemudian, aku sudahpun siap-siap untuk ke kuliah. Namun aku merasa tidak tenang sepanjang berada di kelas. Aku tidak dapat menumpukan perhatian terhadap apa yang diajar En. Sufian. Fikiranku jauh menerawang ke tepi pantai, seolah-olah memanggil-manggil aku datang semula ke sana. Setamatnya kuliah, aku pun terus menuju ke tempat semalam. Aku duduk di tempat yang sama dengan arah yang sama iaitu mengarah ke laut.

Selang beberapa minit selepas itu, aku terlihat seorang gadis bertudung biru berjalan-jalan di sepanjang air. Mungkinkah itu gadis yang sama seperti malam semalam dan juga dalam mimpiku?

Pelbagai tanda tanya bermain-main di fikiranku kini. Siapakah gadis itu? Apa yang dia cari? Mengapakah bayangnya menghantui ku hingga terbawa-bawa ke dalam mimpi? Apakah mesej yang cuba disampaikan kepadaku? Mungkinkah si gadis memerlukan bantuan? Atau hanya sekadar mencari ketenangan dengan berjalan-jalan di sepanjang pantai?

Dengan fikiran yang penuh dengan persoalan, aku mengatur langkah dengan perlahan ke arah si gadis ayu itu. Kuhayun kakiku langkah demi langkah dan….dush….aku terjatuh. Dahlah terjatuh. Tepegang tahi kucing pulak tu. Aduh…kenapalah malang nasib aku hari ni.

Kupandang hadapan tapi si gadis telah hilang dari pandangan. Kecewanya aku…

06 April
Aku ke sini lagi dengan harapan dapat bertemu dengan si gadis bertudung biru. Kududuk di tempat yang sama dengan arah pandangan yang juga sama. Hari ini aku nekad aku akan tegur juga si dia.

Kutunggu-tunggu hingga ke petang, kelibat si gadis tidak juga kelihatan. Fikirku mungkin hari ini dia memakai tudung yang lain pula. Tapi malangnya kelibat seorang gadis langsung tidak kelihatan di kawasan itu. Yang ada hanyalah kumpulan kanak-kanak yang asyik berkejaran dengan gembiranya seolah-olah tiada kegusaran langsung.

Melihat keletah kumpulan kanak-kanak itu, aku percaya mereka datang dari kawasan kampung berdekatan dengan kawasan ini juga. Tiba-tiba aku mendapat satu idea yang entah cukup bernas atau tidak, aku sendiri tak pasti. Aku mendekati kumpulan kanak-kanak riang itu lantas bertanya….

Aku :                           Assalamualaikum dik, abang nak tanye sikit boleh?
Budak perempuan:    waalaikummussalam. Abang nak tanye ape? Adik kecik lagi la  bang.
Aku :                           Abang bukan nak tanye soalan susah-susah kat adik. 
                                    Hehe..abang nak tanye adik semua nih dari kampung dekat-dekat sini 
                                    ye?
Budak perempuan:    Yelah bang. Kami selalu main-main kat sini. Abang mesti bukan                                       
                                    duk sini kan? Sebab tu abang tak pernah tengok kami.
Aku:                           Hehe..pandai la adik ni teka. Abang memang bukan orang sini.                                    
                                    Ha..adik cakap adik selalu main kat sini kan? Adik kenal tak kakak                                                 
                                    pakai tudung biru yang selalu jalan-jalan kat sini?
Budak lelaki :            Alya, jom balik! Ibu da panggil la.
Budak perempuan :   Ye bang..

Ala kacau betul la abang dia ni. Huuu..



07 April
Aku ke mari lagi dengan tujuan yang sama. Kali ini aku tidak duduk di tempat biasa tetapi lebih berminat untuk berjalan-jalan di sepanjang pantai seperti gadis bertudung biru itu.

Dalam tengah aku berjalan-jalan di atas pasir laut yang halus, aku terpijak sesuatu seperti helaian kertas. Lalu kuambil helaian itu. Kemas lipatannya. Kubuka dengan cermat lipatan helaian itu lalu kubaca huruf demi huruf yang ada di dalamnya…

Andai dapat kucapai awan yang membiru di langit
Akan ku simpan sedikit di dalam balang hati
Buat tatapan di kala sunyi

Andai dapat kujejak gunung pencakar langit
Akanku ukir namaku di puncak tertinggi
Agar tersemat kenangan abadi

Andai dapat kugapai pasir di dasar lautan
Akan kukhabarkan pada semua
Tentang kebesaranMu Ya Allah

Namun andai dirimu hilang dari pandangan
Akan kunanti dirimu hingga datang
Supaya kau tahu aku setia kepadamu sayang..



08 April
Aku terjaga dari tidur. Lantas fikiranku menerawang kepada detik-detik semalam. Kucapai diari ku, kuambil helaian yang kuselit di dalam diari. Kubaca puisi yang aku jumpa semalam. Entah untuk kali keberapa aku tidak pasti. Yang pasti aku tertarik dengan penulisannya. Aku dapat merasakan betapa jujurnya tulisan itu. Aku dapat rasa ia bukan sekadar puisi biasa, tapi puisi yang datang dari hati yang kosong, sunyi…

Pasti si penulis sedang kehilangan sesuatu yang amat berharga padanya. Aku kembali tidur dan bangun semula pada awal pagi dengan matlamat yang sama. Mencari si gadis bertudung biru yang sangat-sangat menarik perhatianku.

Kujalan dan terus berjalan di sepanjang pantai, terlihat kumpulan kanak-kanak yang sama sedang bermain-main. Kali ini ada seorang dewasa yang mengawasi mereka.

Dari jauh kuperhatikan gaya orang dewasa itu seperti seusia denganku. Sungguh ayu wajah si empunya diri. Dengan kurung putih yang tersarung dibadan dan dipadankan dengan selendang merah, lagi menambahkan keayuan si dewasa itu.

Entah mengapa hatiku berdebar-debar tatkala melihat si dewasa yang sedang asyik melayan keletah kanak-kanak itu. Manis…sungguh tenang mataku memandang.

Tanpa kusedari, kaki ku sudahpun mula mengatur langkah menghampiri kumpulan kanak-kanak itu dan si dewasa itu juga. Dari jauh aku terdengar satu suara budak perempuan  memanggil si dewasa dan bercakap-cakap tentang sesuatu sambil memandang ke arahku. Aku memberhentikan langkahku. Aku mulai merasa pelik.

Setelah budak perempuan itu habis bercakap dengan si dewasa, kelihatan si dewasa yang ayu tadi berjalan seolah-olah menuju ke arah tempat aku berdiri. Apa lagi, aku terus berpaling dan menuju ke tempat parkir motosikal aku..Hehe..aku pun tak faham kenapa aku takut sangat.



09 April
Aku ke tempat yang sama buat kesekian kalinya. Bak kata-kata yang tertulis di dalam puisi yang aku jumpa itu…

‘Akan kunanti dirimu hingga datang
Supaya kau tahu aku setia kepadamu sayang’

Sedang asyik aku membaca puisi itu, tiba-tiba aku dikejutkan dengan satu suara tidak dikenali. “Maaf kalau mengganggu. Tapi itu puisi milik saya. Puas saya mencari-cari di mana ia tercicir. Rupanya ada dengan awak..”

Aku terkesima. Mataku tidak berkelip melihat tuan punya suara itu. Seorang gadis bertudung biru, biru warna laut seperti si gadis yang kucari-cari selama ini. Berkurung putih seperti si dewasa yang bermain dengan kumpulan kanak-kanak. Lalu aku bersuara.. “Sudah lama saya menanti kemunculan awak. Saban hari saya menanti awak di sini. Pertama kali saya terlihat awak, awak sedang berjalan-jalan di sini di suatu malam seperti mencari sesuatu. Sejak pada itu, saya sangat tertarik dengan awak walaupun saya tidak tahu wajah awak, apalagi mengenali awak tidak mungkin. Bayang awak sering muncul dalam tidur saya hingga saya jatuh cinta pada awk. Mesti awak rasa pelik kan macam mana saya boleh jatuh cinta pada seorang yang saya hanya melihat dari jauh malah tidak tahu rupanya. Yang saya tahu awak memakai tudung berwarna biru.”

Si gadis hanya tersenyum lalu menjawab, “Saya pun setiap hari memerhatikan awak dari atas pondok itu.” Si gadis menunjuk ke arah sebuah pondok di atas sepohon pokok berhampiran dengan tempat aku selalu duduk. “Saya tak tahu apa yang awak cari di sini, tapi saya berminat untuk tahu apa yang awak tunggu. Semakin saya perhatikan awk yang hanya memandang kea rah laut, semakin hati saya tersentuh dengan awak. Saya pun seperti awak, pelik dengan diri saya sendiri. Hinggalah petang itu saya ingin menegur awak, tapi awak lari dari saya…”

Aku terdiam..Lidah ku tiba-tiba terkelu…



10 April
Sudah hari keenam aku kemari. Kali ini aku akan cuba untuk beranikan diri berhadapan dengan Umairah. Indah namanya, seindah orangnya..

Kupandang pondok yang sering diduduki oleh Umairah. Kosong..Kemanakah dia pergi? Tidak teringinkah dia bertemu dengan aku lagi?

Aku duduk di tempat biasa. Tiba-tiba aku terasa seperti ada sesuatu di bawah punggungku. Sehelai kertas! Sebuah puisi lagi?

Tatkala aku bertemu denganmu
Aku tertanya-tanya siapakah kamu
Kucuba menghampirimu
Tapi kamu jauh berlari dariku

Siapakah kamu?
Mengapa kamu hadir dalam mimpiku?
Namun menghindar dalam jagaku?

Siapakah kamu?
Senang-senang mendapat tempat dihatiku?
Kemudian berdiam diri seperti batu?

Siapakah kamu?
Yang dulunya menantikanku
Kini menjauhiku?

Siapakah kamu?
Wahai si pemuda berbaju biru…?

Tersentuh aku menbaca penulisannya. Kupandang sekeliling, Umairah tetap tidak kelihatan. Wahai Umairah, kali ini di pondok mana pula kau mengintip aku…?

Lalu kucapai pen yang telah tersedia diselit bersama helaian puisi tadi. Ku coretkan beberapa bait kata-kata yang aku sendiri tidak pasti puisikah itu???

Saat pertama kali kuterpandang kamu,
Aku terpesona, terpegun dan terbawa-bawa di dalam tidur
Ku cuba mengulangi detik pertemuan kau dan aku
Namun kau tidak muncul-muncul

Saat pertama kali kau menegur
Tubuh terkaku lidah terkelu
Lalu kucuba berpaling untuk mengumpul kekuatan kalbu
Demi berhadapan dengan kamu yang ayu

Saat keberanian mula tumbuh
Kau hilang bersembunyi dariku
Yang tinggal hanyalah puisi kau untukku
Umairah, aku setia menunggumu…..



11 April
Seperti biasa, aku ke tempat yang sama. Kali ini dengan tujuan untuk membaca balasan puisi dari Si gadis ayu. Benar telahanku. Ada sepucuk surat. Tapi kali ini bersampul pula. Mungkin kerana si dia sudah mula menganggap aku seorang yang istimewa padanya. Aku tersenyum sendirian.

Kubuka sampul itu. Kelihatan seperti sekeping kad. Kad undangan perkhahwinan. Mungkin ada sanak-saudaranya yang ingin berkahwin agaknya

Kubuka pula kad di tangan ku itu, kubaca dari atas hingga ke penghujung ayat. Mataku terpaku pada nama bakal pengantin yang tercatat di atasnya. Umairah binti Kassim dan Usman bin Haji Talib..

Aku terduduk. Tanganku pula terpegang tahi kucing. Kali ini aku tidak mengendahkan semua itu. Yang aku tahu air mataku tak semena-mena mengalir laju. Tak pernah air mataku jatuh hanya kerana seorang gadis…

Umairah..semoga kau berbahagia…Aku tahu kau juga berperasaan yang sama sepertiku. Tapi seeloknya kikislah rasa itu agar ruang itu tadi dapat digantikan dengan kasih bakal suamimu…

by: HanaFiera...




...Klik untuk baca lagi Gadis Bertudung Biru